Friday, February 27, 2009

PPSMI-Objektifnya Mungkin Pinggirkan Bahasa Melayu

Menonton siaran ulangan Raja Lawak musim ketiga baru-baru ini, tertarik dengan lawak dari kumpulan Sepah. Sememangnya isi lawak yang ditonjolkan kumpulan tersebut mendapat sambutan hebat. Saya dimaklumkan kumpulan tersebut sekarang menjadi pilihan untuk menjuarai Raja Lawak musim ketiga ini. Namun apa yang betul-betul menggelikan hati ini adalah bait kata dari kumpulan tersebut yang antaranya berbunyi “ Kau cakap melayu pun tergagap-gagap nak cakap orang putih”, kemudian disambung lagi “ ada bahasa sendiri agunglah bahasa sendiri”, Saya merasa terpanggil dengan luahan ayat tersebut, adakah ianya sekadar lawak atau ada maksud tersirat yang cuba ditujukan kepada golongan tertentu.

Sasterawan Negara menentang

Bila membaca pula kenyataan Datuk A Samad Said yang sanggup kehilangan gelaran Sasterawan Negara semata-mata kerana mempertahankan bahasa ibundanya bahasa melayu, kita jadi malu dengan diri sendiri. Cukup lemah upaya kita untuk mempertahankan bahasa kita sendiri walaupun bergendang seluruh Malaya mengatakan kita adalah penjaga kaum melayu yang menjaga bangsanya, agamanya iaitu Islam dan juga bahasanya. Bila ‘orang tua’ macam Datuk A Samad Said sanggup ke hulu hilir demi mempertahankan bahasa ibunda, apa tindakan pemuda Umno yang kononya hebat dan pantang dicabar dalam memperjuangkan bahasa ibunda orang melayu ini

Tercapaikah objektifnya?

Isu PPSMI tidak harus dilihat dari sudut kaedah pembelajaran semata-mata, tapi harus dilihat secara menyeluruh yang membabitkan kesan kepada anak bangsa melayu dan kepada bahasa melayu itu sendiri. Cuba lihat objektif PPSMI ini diwujudkan, kononnya untuk meningkatkan penguasaan anak melayu dalam Bahasa Inggeris. Tapi adakah objektif tersebut tercapai? Kalau tidak apa salahnya patah balik sebelum terlambat dan cari kaedah lain untuk tingkatkan penguasaan bahasa inggeris ini. Cari kaedah yang betul untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris kepada anak melayu mungkin dengan memperkasakan teknik dan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris, memberi galakan dan insentif kepada guru yang cemerlang dalam Bahasa Inggeris dan banyak lagi kaedah yang boleh difikirkan sesuai tapi bukan dengan cara mengorbankan bahasa ibunda kita. Mungkin ahli akademik melihat PPSMI tidak mencapai objektifnya dan memberi bahana kepada pelajar-pelajar melayu di luar bandar yang dulunya ketinggalan hanya satu mata pelajaran tapi sekarang kepada empat mata pelajaran iaitu English. Sains, Matematik dan juga Bahasa Melayu. Jangan jadi yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Sudahlah jurang antara pelajar bandar dan luar bandar sebelum ini jauh ditambah kaedah PPSMI jawabnya ‘ibarat panggil tak dengar’.

Kesan dari perlaksanaan PPSMI

Tapi jikalau PPSMI berjaya dari segi objektifnya maka apa akan jadi kepada nasib bahasa melayu kita? Jangan terkejut jika bahasa kita hilang dari muka bumi ini seperti mana hilangnya bahasa Sanskrit dan banyak bahasa lain sebelum ini. Bila bahasa melayu hilang maka mana identiti bangsa melayu? Tidak mustahil ianya turut hilang dan pada masa tu demonstrasi macam mana sekalipun tidak berupaya untuk mengangkat kembali bahasa kita ini. Golongan professional sekarang yang rata-rata berumur 25-35 belajar Sains dan Matematik dalam bahasa melayu pun kadang-kadang segan nak bertutur dalam bahasa melayu ‘low standard’ kata mereka dan jangan salahkan pelajar-pelajar yang dari kecil diajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Saya percaya ianya akan jadi begini jika PPSMI ini berjaya mencapai objektifnya maka akan ada satu usul dari menteri, kita perlu tingkatkan lagi keupayaan anak kita dalam bahasa inggeris dengan menambah mata pelajaran lain untuk diajar dalam bahasa inggeris, sedikit demi sedikit bahasa melayu dihakis. 20 tahun akan datang kita akan melihat professional melayu tidak akan bertutur lagi dalam bahasa melayu, Masa itu kita sedar kita telah buat kesilapan.


Sebab itu jangan main-main dengan bahasa melayu, jangan suka-suka nak ubah, kurangkan penggunaannya dan jangan rendahkan martabatnya. Ini identiti kita, ini tanda pengenalan diri kita. Kita mesti lahirkan anak-anak melayu yang fasih banyak bahasa bukan semata bahasa inggeris sahaja tapi bukan dengan cara dan kaedah yang akan meruntuhkan bahasa ibunda mereka. Mengapa tidak kita lahirkan professional yang berada dalam acuan kita sendiri. Seorang professional yang hebat, yang ada jati diri melayu yang kental, yang bangga dengan bahasa melayu dan pada masa yang sama fasih bertutur dalam banyak bahasa lain tidak semata-mata bahasa inggeris. Jangan sampai bahasa Malayu dan bangsa melayu hilang dari bumi ini dan kita menjadi hamburan maki hamun anak cucu generasi depan yang jelak dengan upaya kita dalam mempertahankan bahasa ibunda kita sendiri.

No comments:

Post a Comment