Friday, May 1, 2009

Mencari Maksud Kepimpinan Ulama

Pas telah memperkenalkan dasar kepimpinan Ulama sejak tahun 80an ketika Almarhum Pak Yusuf Rawa menjadi Presiden. Dasar tersebut telah mewujudkan sebuah institusi yang dinamakan sebagai Majlis Syura Ulama di samping memperkasakan Dewan Ulama Pas.Timbul tanggapan hari ini bahawa jawatan Timbalan Presiden haruslah dipegang oleh mereka yang mempunyai title ulama atau ustaz. Adakah kepimpinan ulama itu bermaksud Presiden dan Timbalan Presiden itu mestilah ulama ataupun kepimpinan Pas merujuk kepada ulama atau syarak?

Penulis tetap mempertahankan bahawa kerusi Timbalan Presiden hendaklah diisi oleh seorang pejuang telah diuji dalam perjuangan menegakkan yang maaruf dan menentang kemungkaran dengan syarat kepimpinannya hendaklah sentiasa bernaung di bawah Majlis Syura Ulama. Ulama itu tidak semestinya seorang pemimpin tetapi pemimpin itu mestilah sentiasa merujuk kepada Ulama. Penulis ada alasan dan hujah.

Semangat Kepimpinan Ulama

Semangat ini perlu diterjemahkan melalui perjuangan yang berani dan kecekalan dalam menerima ujian dan juga tawaran. Istiqamah amat penting dalam perjuangan yang mendokong kepimpinan Ulama. Kita tidak mahu tragedi seperti Ustaz Nakhaei Ahmad yang bertaraf Ulama namun tidak tahan ujian dan tawaran.

Timbalan Presiden Adalah Presiden

Ketika ketiadaan atau keuzuran Presiden, Timbalan Presiden adalah Presiden. Atas semangat kepimpinan Ulama maka pemangkunya ketika sebarang kemungkinan perlulah merujuk kepada Majlis Syura Ulama agar semangat kepimpinan ulama itu sentiasa segar.

Kemampuan Ilmu Syarak

Presiden atau Timbalan Presiden mesti seorang yang berkemampuan tinggi menyelesaikan masalah jamaah atau masalah umat berdasarkan peraturan syarak. Mampu merujuk masalah yang rumit dan halus di bawah naungan Majlis Syura Ulama. Hanya Majlis Syura Ulama yang mampu melakukan itu semua.

Pas Adalah Gerakan Islam

Pas bukan sekadar sebuah parti politik tetapi adalah gerakan Islam. Kemampuan pemimpin tertingginya membawa Pas menghayati ruh sebuah gerakan Islam sangat diperlukan. Sesiapa sahaja mampu memimpin sebuah parti politik tetapi tidak semua orang berupaya memimpin sebuah gerakan Islam. Pemimpin yang telah teruji ketahanannya dalam mempertahankan survival gerakan Islam layak menjadi Timbalan Presiden.

Tiada Cacatnya Timbalan Presiden bukan Ulama

Semenjak sekian lama dua jawatan utama itu dipegang oleh ulama dengan gandingan Yusof Rawa Fadhil Noor, Fadhil Noor Abdul Hadi dan Abdul Hadi Nasharuddin, tidak timbul masalah besar. Kalau Timbalan Presiden sekarang bermasalah apa salahnya kita tukarkan beliau dengan mereka yang bukan Ulama selama dua tahun, kita boleh lihat dahulu kemampuannya untuk memimpin sebuah gerakan Islam.

Siapa Yang Layak Menduduki Kerusi Itu Daripada Kalangan Bukan Ulama

Hanya pemimpin yang telah teruji dalam perjuangan ini dengan kesusahan, kepayahan dan kesukaran serta tawaran menarik tetapi terus kekal istiqamah sahaja yang layak menduduki kerusi itu.

Kita Perlu Berbeza Dengan Orang Lain

Parti sahabat kita atau parti saingan kita tidak meletakkan ulama sebagai tunggak. Kita tetap berbeza daripada parti lain kerana hierarki kepimpinan tertinggi kita adalah Ulama yang berada di dalam Majlis Syura Ulama. Sistem dalam Pas amat berbeza di mana Mursyidul Am adalah pemimpin nombor satu dalam parti.Majlis Syura Ulama mestilah dipertahankan sebagai institusi yang tertinggi di dalam parti.

Di samping itu Dewan Ulama sebuah lagi institusi dalam Pas juga wajib terkehadapan dalam mengolah isu-isu semasa dengan berlandaskan syara’.Penulis berpandangan isu yang perlu di sini ialah kepimpinan dalam Pas perlulah diberikan kepada sesiapa sahaja samada mereka itu Ulama, profesional ataupun aktivis parti dengan syarat mereka itu adalah daripada yang terbukti mampu memimpin Pas membawa ke tahap yang lebih gemilang.

Jangan jadikan Ulama sebagai satu syarat untuk memimpin di dalam Pas. Kelak Pas akan berpecah teruk lantaran sikap bodoh sombong mana-mana individu yang mempergunakan title Ulama untuk melindungi kelemahan sendiri.

Akhukum fil Islam

P/S : Untuk Renungan dari Tentera Islam

1) Presiden berstatus Ustaz tetapi tidak merujuk kepada Majlis Syura Ulama dalam setiap tindakan, adakah sesuai memimpin Pas?

2) Kepimpinan Ulama bermaksud Pemimpinnya (Presiden & Timb Pres) adalah ulama atau Presiden dan Timb Presidennya sentiasa merujuk kepada Majlis Syura Ulama dalam setiap tindak tanduk dan tindakannya?

3) Perlembagaan Pas tidak menetapkan sebarang syarat untuk menjadi Presiden dan Timb. Presiden tetapi menetapkan syarat hanya Ulama sahaja boleh menganggotai Majlis Syura Ulama

Friday, April 17, 2009

PRK Lagi Sekali

Penat lelah semasa pilihanraya 2 bukit 1 batang belum lagi selesai tiba-tiba ada lagi pilihanraya kecil bakal diadakan. Kali ini pertarungannya di DUN Penanti di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Taikh tak umum lagi tapi gendang dan semboyan perang dan berbunyi, serangan psikologi dan mula dan seperti biasa TV 3 suku dan Utusan Meloya menjadi alat untuk menggerakkan perang ini.
Di pejabat aku sekarang kawan-kawan aku mula bermesyuarat dan isinya adalah seperti apa yang PM dan pak Menterinya keluhkan sebab banyak sangat pilihanraya, membazir, agenda dan muslihat Anwar la dan macam-macam lagi. Seperti biasa di pejabat aku juga menyokong cakap-cakap seperti ini. Mereka kata banyak sangat pilihanraya dan ianyha satu pembaziran kepada negara ini
Tapi dalam sibuk-sibuk jadi 'ahli mesyuarat dewan' tu tiba-tiba seorang kawan aku kata "macam nilah baru meriah Malaysia" ada yang tak puas hati bertanya "kau tak penat ker pilihanraya banyak sangat", kawan aku yang aku namakan A dengan selamba jer cakap " Alah banyak pun tak ada kaitan dengan kau pun, macamlah kau ambil berat sangat pasal politik di Malaysia", kawan aku yang tidak puas hati tadi terus diam, A sambung lagi " ada pilihanraya laa seronok kalau boleh aku nak tempat aku hari-hari ada pilihanraya sebab dapat jalan baru, atap rumah baru, dapat duit, nak mintak apa-apa pun senang dan isteri aku boleh bukak gerai kat tempat-tempat ceramah, masyuk tu".
Semua yang dengar gelak jer dan menanggukkan kepala tanda setuju, aku tersenyum dan mengiyakan kata-kata kawan aku tu. Kadang-kadang kalau kita tanya pada sesetengah orang yang sebelum ni tak pernah ambil berat pasal politik dan pilihanraya tiba-tiba jer mereka nie jadi jaguh utama menceritakan pasal pembaziran la, politik tidak stabil laa macam-macam la. Tapi kalau tanya pada orang yang tahu manfaatnya mereka tidak menolak pilihanraya malah mengharapkan ada pilihanraya setiap hari. Meriahnya macam pesta muda mudi rasanya.

Saturday, April 11, 2009

Tugas Seterusnya Pakatan

Sekali lagi Pakatan Rakyat mencatat kejayaan yang gemilang untuk terus mendapat tempat di dewan hati rakyat di Semenanjung Malaysia. Kemenangan Pakatan yang diwakili oleh Pas di Bukit Gantang terasa sungguh lazat dan cukup puas rasanya. Bukan setakat dengan pertambahan majoiti yang hampir sekali ganda berbanding PRU 12 dulu, tapi kemenangan Pas dan Dato’ Seri Ir Nizar tatkala Perak dilanda krisis politik dan perlembagaan yang mana dianggap satu referendum membantah tindakan Dato Seri Najib merampas kerajaan Perak dari Pakatan Rakyat, selain itu juga kemenagan pakatan kali ini dikala BN telah bertukar kepimpinan dan dianggap kuat selepas melalui kursus motivasi pada perhimpunan Agung baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat masih lagi bersama-sama Pakatan Rakyat dan tidak mudah untuk terus dilunakkan BN kali ini walaupun dengan pimpinan baru dan moto baru untuk memohon restu rakyat.
Bertitik tolak dari pilihanraya kecil di dua bukit dan satu batang ini, seolah-olah ada sinar harapan untuk Pakatan Rakyat mencatat kemenangan yang lebih gemilang pada PRU 13 nanti. Nampaknya gabungan atau grand Coalition parti pembangkang ini terus menjadi pilihan terbaik rakyat sebagai alternative kepada Barisan Nasional. Mula dari sekarang terus utuhkan perpaduan diantara PKR, PAS dan DAP dan mula bergerak sebagai sebuah parti pemerintah. Usaha keras dan penyusunan strategi perlu dimulakan sekarang untuk menawan rakyat Malaysia agar beruapaya memerintah pada PRU-13 nanti. Tindakan yang difikirkan wajar dilakukan dengan kadar segera adalah dengan penubuhan kabinet bayangan. Penubuhan kabinet bayangan juga adalah satu menefestasi kepada usaha yang bersungguh-sungguh Pakatan Rakyat untuk menawan hati rakyat Malaysia. Ianya juga menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa gabungan ini adalah gabungan yang cukup utuh, kuat, erat dan penuh semangat kerjasama. Tertubuhnya kabinet bayangan ini akan memberi peluang dan ruang kepada rakyat Malaysia untuk menilai kemampuan Pakatan Rakyat andaikata diberi peluang berkuasa di negara ini. Rakyat akan menilai kabinet mana yang lebih hebat, lebih mantap dan lebih mampu membawa aspirasi rakyat. Jangan takut dengan kouta kaum-kaum tertentu kerana percayalah rakyat Malaysia makin lama makin sudah melupakan politik perkauman cuma perlu untuk memuaskan hati 3 parti gabungan tersebut.
Namun apa yang pasti kabinet bayangan ini tidak harus main tangkap muat. Perlu ada perbincangan yang luas dan mendalam dari ketiga-tiga gabungan tersebut. Orang-orang yang diberi kepercayaan perlulah betul-betul layak dan mempunyai kreadibiliti yang tidak boleh dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak. Percayalah dari segi kualiti yang ada pemimpin pakatan rakyat jauh lebih mendahului berbanding BN. Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim, Azmin Ali, Saifudin Nasution di pihak PKR, Haji Hadi, Dr. Mujahid, Dr Dzulkefli, Ir Nizar, Dr Hatta Ramli, Dr Mariah, Dr Lolo’ di pihak PAS serta Lim Kit Siang, Lim Guang Eng, Terresa Kok, Dato’ Ngeh dari DAP, apa kurangnya PR kepada rakyat Malaysia. Dengan pengalaman yang ada kepada DSAI, LKS, TGHH selaku tiga nakhoda kepada 3 parti pembangkang tersebut insya Allah kita ada upaya untuk mentadbir negara.

Monday, March 2, 2009

Sidang DUN Perak bawah Pokok

Dilaporkan Sidang DUN tergempar negeri Perak hari ini diadakan di bawah pokok, satu senario yang baru untuk negara kita. Tapi kalau sidang itu sah disisi perlembagaan tak kira dimana ia diadakan. Tapi kalau sidang DUN itu tidak sah dan bercanggah dari sisi undang-undang serta perlembagaan walaupun ianya diadakan di dewan istana sekalipun atauu di Pejabat Majlis Negeri. Jadi sekatan yang dilakukan untuk menghalang ADUN memasuki Dewan Mesyuarat Negeri adalah menjukkan secara tidak langsung bahawa sidang tersebut adalah sah disisi undang-undang dan perlembagaan.

Tapi terkenang juga aku pada kisah Laksamana Do Re Mi, yang mana kerajaan Pasir Dua Butir di bawah pokok.

Mi: "Itu kedai jual aiskrim laa",
Re :"Cheh, mana ada orang jual aiskrim tengah padang pasir ini."
Do: "Aku fikir itu istana raja."

Re : " Datuk kenapa datuk tidak melarikan diri bersembunyi? "
Bendahara Pasir Dua Butir : " Kami yang dok tertonggok di sini membuktikan kerajaan Pasir Dua Butir dok ada lagi, kalau tak dengan kami pun dah belah

Begitu laaa lebih kurang dialog dalam cerita tu, aku pun tak berapa ingat, nak tahu dialog tepat kena tanya kawan aku yang memang minat gila dengan filem P. Ramlee. P.Ramlee dah lama cerita kat kita yang tonton filemnya kat mana tempat kerajaan itu ia tetap tidak jadi masalah, selagi ia nya masih ada beroperasi bawah pokok, bermesyuarat bawah pokok tidak jadi apa-apa masalah dan ianya sah disisi perlembagaan.

Tapi ADUN Pakatan Rakyat yang buat sidang tergempar tidak sehingga memakai topi "Fire Bridget" macam kerajaan Pasir Dua Butir. Masih berpakaian rasmi.

Tapi aku masih tertanya-tanya kalau dalam file Laksamana DO RE MI habis bangunan-bangunan istana di kopak oleh Menteri Fasola yang nak berkuasa. tapi dalam kes Perak siapa pulak yang nak berkuasa nie? "ada ke patut? Akal tak der?" " tak patut-tak patut."

Saturday, February 28, 2009

TOL NAIK KE TARAK NAIK KER SAPA UNTUNG?

TOL NAIK!!!

Heboh satu Malaya 5 tol terpaksa dinaikkan sebab sudah termaktub dalam perjanjian dengan syarikat yang pegang konsesi tol, Bertanya sekalian hamba rakyat wajarkah tol dinaikkan ditengah negara mula merasa tempias kemelesetan ekonomi.

BEBAN KEPADA RAKYAT

Maka berkatalah mantan Menteri Datuk Seri Azmi Khalid, kenaikan tol ni akan membuatkan rakyat terasa bebannya. Berkata lagi dia “kalau dia pun yang berulang balik terasa bebannya inikan rakyat biasa”. Dulu jadi menteri tak pernah rasa kena bayar tol main redah jer palang tol tu dengan kereta rasmi kerajaan.

Rata-rata berpendapat kenaikan tol telah membebankan rakyat. Kenaikan tidak sesuai pada masanya. Nasib baik juga ekonomi meleset sebab kalau ekonomi baik maka tol pun boleh dinaikkan

MENTERI KABINET DAN PM TERKEJUT

Puak menteri yang jaga Malaya sekaliannya terkejut dengan pengumuman kenaikan tol. Dikatakan tidak sesuai dengan masanya. Perdana Menteri pun turut sama terkejut. Tapi hamba rakyat tercengang tak kan laa menteri kabinet dan Perdana Menteri tidak tahu langsung tol akan naik. Tidak bincang dalam mesyuarat kabinet ker? Atau tidak semak ker laporan dari syarikat penjaga tol bila tol akan dinaikkan. Perdana Menteri kata perbincangan 2-3 minggu lepas masa tu ekonomi tak teruk lagi. Aduss!! Pak Menteri dan Perdana Menteri tidak boleh ramal keadaan ekonomi ke? Tak kan la para Menteri yang bijak pandai tak boleh nak agak keadaan dan kesan ekonomi semasa? Tapi tak tahu la kalau tengok semua orang terkejut maka puak-puak menteri pun sama-sama terkejut. Berlakon terkejut ker? Kalau berlakon terkejut nampaknya puak menteri ada bakat jadi pelakon.

TANGGUH NAIK

Selepas semua orang terkejut, PM dan Menteri terkejut tapi tidak pasti buat-buat atau betul-betul terkejut akhirnya keputusan untuk naikkan tol ditangguhkan. Kerajaan akan bayar pampasan kepada syarikat jaga tol, Syarikat jaga tol jugak yang untung, tapi puak TV akan cakap kerajaan ada sekarang kerajaan yang prihatin. Tak sanggup tengok rakyat susah maka dibayar pampasan bagi pihak rakyat. Rakyat Malaysia tepuk tangan.

Tapi harus diingat kenaikan itu ditangguh sementara, lepas ni ekonomi baik maka tidak laa mustahil tol pun boleh dinaikkan. Syarikat jaga tol jugak tersenyum sebab tetap dapat duit.

Friday, February 27, 2009

PPSMI-Objektifnya Mungkin Pinggirkan Bahasa Melayu

Menonton siaran ulangan Raja Lawak musim ketiga baru-baru ini, tertarik dengan lawak dari kumpulan Sepah. Sememangnya isi lawak yang ditonjolkan kumpulan tersebut mendapat sambutan hebat. Saya dimaklumkan kumpulan tersebut sekarang menjadi pilihan untuk menjuarai Raja Lawak musim ketiga ini. Namun apa yang betul-betul menggelikan hati ini adalah bait kata dari kumpulan tersebut yang antaranya berbunyi “ Kau cakap melayu pun tergagap-gagap nak cakap orang putih”, kemudian disambung lagi “ ada bahasa sendiri agunglah bahasa sendiri”, Saya merasa terpanggil dengan luahan ayat tersebut, adakah ianya sekadar lawak atau ada maksud tersirat yang cuba ditujukan kepada golongan tertentu.

Sasterawan Negara menentang

Bila membaca pula kenyataan Datuk A Samad Said yang sanggup kehilangan gelaran Sasterawan Negara semata-mata kerana mempertahankan bahasa ibundanya bahasa melayu, kita jadi malu dengan diri sendiri. Cukup lemah upaya kita untuk mempertahankan bahasa kita sendiri walaupun bergendang seluruh Malaya mengatakan kita adalah penjaga kaum melayu yang menjaga bangsanya, agamanya iaitu Islam dan juga bahasanya. Bila ‘orang tua’ macam Datuk A Samad Said sanggup ke hulu hilir demi mempertahankan bahasa ibunda, apa tindakan pemuda Umno yang kononya hebat dan pantang dicabar dalam memperjuangkan bahasa ibunda orang melayu ini

Tercapaikah objektifnya?

Isu PPSMI tidak harus dilihat dari sudut kaedah pembelajaran semata-mata, tapi harus dilihat secara menyeluruh yang membabitkan kesan kepada anak bangsa melayu dan kepada bahasa melayu itu sendiri. Cuba lihat objektif PPSMI ini diwujudkan, kononnya untuk meningkatkan penguasaan anak melayu dalam Bahasa Inggeris. Tapi adakah objektif tersebut tercapai? Kalau tidak apa salahnya patah balik sebelum terlambat dan cari kaedah lain untuk tingkatkan penguasaan bahasa inggeris ini. Cari kaedah yang betul untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris kepada anak melayu mungkin dengan memperkasakan teknik dan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris, memberi galakan dan insentif kepada guru yang cemerlang dalam Bahasa Inggeris dan banyak lagi kaedah yang boleh difikirkan sesuai tapi bukan dengan cara mengorbankan bahasa ibunda kita. Mungkin ahli akademik melihat PPSMI tidak mencapai objektifnya dan memberi bahana kepada pelajar-pelajar melayu di luar bandar yang dulunya ketinggalan hanya satu mata pelajaran tapi sekarang kepada empat mata pelajaran iaitu English. Sains, Matematik dan juga Bahasa Melayu. Jangan jadi yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Sudahlah jurang antara pelajar bandar dan luar bandar sebelum ini jauh ditambah kaedah PPSMI jawabnya ‘ibarat panggil tak dengar’.

Kesan dari perlaksanaan PPSMI

Tapi jikalau PPSMI berjaya dari segi objektifnya maka apa akan jadi kepada nasib bahasa melayu kita? Jangan terkejut jika bahasa kita hilang dari muka bumi ini seperti mana hilangnya bahasa Sanskrit dan banyak bahasa lain sebelum ini. Bila bahasa melayu hilang maka mana identiti bangsa melayu? Tidak mustahil ianya turut hilang dan pada masa tu demonstrasi macam mana sekalipun tidak berupaya untuk mengangkat kembali bahasa kita ini. Golongan professional sekarang yang rata-rata berumur 25-35 belajar Sains dan Matematik dalam bahasa melayu pun kadang-kadang segan nak bertutur dalam bahasa melayu ‘low standard’ kata mereka dan jangan salahkan pelajar-pelajar yang dari kecil diajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Saya percaya ianya akan jadi begini jika PPSMI ini berjaya mencapai objektifnya maka akan ada satu usul dari menteri, kita perlu tingkatkan lagi keupayaan anak kita dalam bahasa inggeris dengan menambah mata pelajaran lain untuk diajar dalam bahasa inggeris, sedikit demi sedikit bahasa melayu dihakis. 20 tahun akan datang kita akan melihat professional melayu tidak akan bertutur lagi dalam bahasa melayu, Masa itu kita sedar kita telah buat kesilapan.


Sebab itu jangan main-main dengan bahasa melayu, jangan suka-suka nak ubah, kurangkan penggunaannya dan jangan rendahkan martabatnya. Ini identiti kita, ini tanda pengenalan diri kita. Kita mesti lahirkan anak-anak melayu yang fasih banyak bahasa bukan semata bahasa inggeris sahaja tapi bukan dengan cara dan kaedah yang akan meruntuhkan bahasa ibunda mereka. Mengapa tidak kita lahirkan professional yang berada dalam acuan kita sendiri. Seorang professional yang hebat, yang ada jati diri melayu yang kental, yang bangga dengan bahasa melayu dan pada masa yang sama fasih bertutur dalam banyak bahasa lain tidak semata-mata bahasa inggeris. Jangan sampai bahasa Malayu dan bangsa melayu hilang dari bumi ini dan kita menjadi hamburan maki hamun anak cucu generasi depan yang jelak dengan upaya kita dalam mempertahankan bahasa ibunda kita sendiri.

Wednesday, February 25, 2009

Wajah Sebenar Ibrahim Ali ?

Petikan hansard dari parlimen 19/02/2009.. Terima kasih kawan-kawan yang sudi berkongsi

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hei, beruk!!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Beruk sahaja kenal dengan beruk tau!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Kamu jangan kurang ajar ya!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Beruk besar kenal dengan beruk...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hei, anjing!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Kalau saya anjing, kamu pun anjing.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Kamu anjing!

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Bukan you seorang Melayu tau, ramai lagi Melayu.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Ya lah, tetapi kalau orang Hindu cakap saya macam itu ...
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Bagi pihak Melayu, you have no right.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hey, you shut up! You shut up! You shut up! Babi!

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Awak ingat awak seorang saja Melayu?
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Apa you bercakap macam itu?
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Beri saya laluan!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tak payah!
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Beri saya laluan!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tak payah!
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kalau kamu berani!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tak payah!
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Penakut!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Apa penakut?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Shah Alam...
Beberapa Ahli: [Menyampuk]
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: [Menghempaskan songkoknya]

Ini petikan hansard pertengkaran Ibrahim Ali dengan N. Gobalakrishnan

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Itu sahaja maksud saya!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Inilah! Tadi you gunakan perkataan
‘munafik’. Ha, kamu munafik sekarang ini. [Dewan riuh]
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya tidak ada, saya kata perkataan umum. Saya tidak
sebut sesiapa pun melainkan saya katakan umum. Ini soal prinsip perbahasan umum. Kamu
jangan kurang ajar! [Tepuk] Hei Bangsat! Kamu jangan kurang ajar!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Pasir Mas kurang ajar, Tuan Yang di-Pertua.

Selepas itu Ibrahim Ali cuba menunjukkan dia adalah mangsa keadaan dan cuba berselindung. memang dah jadi perangai Ibrahim dari dulu lagi....

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Astaghfirullah. Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi saya minta maaf, saya minta maaf banyak-banyak kepada Dewan yang mulia tentang apa yang berlaku. Mereka membuat provokasi kepada saya dengan tidak ikut peraturan, dengan tidak menghormati Tuan Yang di-Pertua. Menuduh, menuding dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar daripada Dewan. Inilah yang dikatakan mereka ini golongan beradab dan
pejuang-pejuang Islam, cukup saya kesal.

Inilah yang diwar-warkan kelantangan.. Ini bukan kelantangan tapi mencarut dengan sifat yang gila meroyan. Nampaknya sudah terserlah sifat dan watak sebenar dia nie, Tapi biarkan dia, lagi 3 tahun jer dia jadi Ahli Parlimen lepas nie PAS Kelantan tidak benarkan lagi dia bertanding guna logo PAS... betul laa cakap dia dulu Umno buang dia sekarang Pas pulak buang dia, dia dah jadi anak yatim

sebenarnya kau tu yang tidak taat kepada parti kau.. elok laaa kau berjalan sendiri.. kalau kau jatuh kau bangun laa sendiri..