Friday, May 1, 2009

Mencari Maksud Kepimpinan Ulama

Pas telah memperkenalkan dasar kepimpinan Ulama sejak tahun 80an ketika Almarhum Pak Yusuf Rawa menjadi Presiden. Dasar tersebut telah mewujudkan sebuah institusi yang dinamakan sebagai Majlis Syura Ulama di samping memperkasakan Dewan Ulama Pas.Timbul tanggapan hari ini bahawa jawatan Timbalan Presiden haruslah dipegang oleh mereka yang mempunyai title ulama atau ustaz. Adakah kepimpinan ulama itu bermaksud Presiden dan Timbalan Presiden itu mestilah ulama ataupun kepimpinan Pas merujuk kepada ulama atau syarak?

Penulis tetap mempertahankan bahawa kerusi Timbalan Presiden hendaklah diisi oleh seorang pejuang telah diuji dalam perjuangan menegakkan yang maaruf dan menentang kemungkaran dengan syarat kepimpinannya hendaklah sentiasa bernaung di bawah Majlis Syura Ulama. Ulama itu tidak semestinya seorang pemimpin tetapi pemimpin itu mestilah sentiasa merujuk kepada Ulama. Penulis ada alasan dan hujah.

Semangat Kepimpinan Ulama

Semangat ini perlu diterjemahkan melalui perjuangan yang berani dan kecekalan dalam menerima ujian dan juga tawaran. Istiqamah amat penting dalam perjuangan yang mendokong kepimpinan Ulama. Kita tidak mahu tragedi seperti Ustaz Nakhaei Ahmad yang bertaraf Ulama namun tidak tahan ujian dan tawaran.

Timbalan Presiden Adalah Presiden

Ketika ketiadaan atau keuzuran Presiden, Timbalan Presiden adalah Presiden. Atas semangat kepimpinan Ulama maka pemangkunya ketika sebarang kemungkinan perlulah merujuk kepada Majlis Syura Ulama agar semangat kepimpinan ulama itu sentiasa segar.

Kemampuan Ilmu Syarak

Presiden atau Timbalan Presiden mesti seorang yang berkemampuan tinggi menyelesaikan masalah jamaah atau masalah umat berdasarkan peraturan syarak. Mampu merujuk masalah yang rumit dan halus di bawah naungan Majlis Syura Ulama. Hanya Majlis Syura Ulama yang mampu melakukan itu semua.

Pas Adalah Gerakan Islam

Pas bukan sekadar sebuah parti politik tetapi adalah gerakan Islam. Kemampuan pemimpin tertingginya membawa Pas menghayati ruh sebuah gerakan Islam sangat diperlukan. Sesiapa sahaja mampu memimpin sebuah parti politik tetapi tidak semua orang berupaya memimpin sebuah gerakan Islam. Pemimpin yang telah teruji ketahanannya dalam mempertahankan survival gerakan Islam layak menjadi Timbalan Presiden.

Tiada Cacatnya Timbalan Presiden bukan Ulama

Semenjak sekian lama dua jawatan utama itu dipegang oleh ulama dengan gandingan Yusof Rawa Fadhil Noor, Fadhil Noor Abdul Hadi dan Abdul Hadi Nasharuddin, tidak timbul masalah besar. Kalau Timbalan Presiden sekarang bermasalah apa salahnya kita tukarkan beliau dengan mereka yang bukan Ulama selama dua tahun, kita boleh lihat dahulu kemampuannya untuk memimpin sebuah gerakan Islam.

Siapa Yang Layak Menduduki Kerusi Itu Daripada Kalangan Bukan Ulama

Hanya pemimpin yang telah teruji dalam perjuangan ini dengan kesusahan, kepayahan dan kesukaran serta tawaran menarik tetapi terus kekal istiqamah sahaja yang layak menduduki kerusi itu.

Kita Perlu Berbeza Dengan Orang Lain

Parti sahabat kita atau parti saingan kita tidak meletakkan ulama sebagai tunggak. Kita tetap berbeza daripada parti lain kerana hierarki kepimpinan tertinggi kita adalah Ulama yang berada di dalam Majlis Syura Ulama. Sistem dalam Pas amat berbeza di mana Mursyidul Am adalah pemimpin nombor satu dalam parti.Majlis Syura Ulama mestilah dipertahankan sebagai institusi yang tertinggi di dalam parti.

Di samping itu Dewan Ulama sebuah lagi institusi dalam Pas juga wajib terkehadapan dalam mengolah isu-isu semasa dengan berlandaskan syara’.Penulis berpandangan isu yang perlu di sini ialah kepimpinan dalam Pas perlulah diberikan kepada sesiapa sahaja samada mereka itu Ulama, profesional ataupun aktivis parti dengan syarat mereka itu adalah daripada yang terbukti mampu memimpin Pas membawa ke tahap yang lebih gemilang.

Jangan jadikan Ulama sebagai satu syarat untuk memimpin di dalam Pas. Kelak Pas akan berpecah teruk lantaran sikap bodoh sombong mana-mana individu yang mempergunakan title Ulama untuk melindungi kelemahan sendiri.

Akhukum fil Islam

P/S : Untuk Renungan dari Tentera Islam

1) Presiden berstatus Ustaz tetapi tidak merujuk kepada Majlis Syura Ulama dalam setiap tindakan, adakah sesuai memimpin Pas?

2) Kepimpinan Ulama bermaksud Pemimpinnya (Presiden & Timb Pres) adalah ulama atau Presiden dan Timb Presidennya sentiasa merujuk kepada Majlis Syura Ulama dalam setiap tindak tanduk dan tindakannya?

3) Perlembagaan Pas tidak menetapkan sebarang syarat untuk menjadi Presiden dan Timb. Presiden tetapi menetapkan syarat hanya Ulama sahaja boleh menganggotai Majlis Syura Ulama

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. BEZA KEPIMPINAN ULAMA DAN KEPIMPINAN PROFESIONAL

    CONTOH

    1.ZOHOR MASUK 1.06PM-KEPIMPINAN ULAMA AKAN TERUS PERGI KE MASJID DAN BERSEMBAHYANG JEMAAH TETAPI KEPIMPINAN PROFESIONAL SOLAT SELEPAS MAKAN TENGAHHARI ATAUPUN DEKAT DENGAN WAKTU ASAR(PENGHUJUNG WAKTU ZOHOR)..KATANYA TAK SALAH

    2. KEPIMPINAN ULAMA PAKAI JUBAH DAN SERBAN TETAPI KEPIMPINAN PROFESIONAL PAKAI BAJU KEMEJA BAJU KOTAK 2 MERAH ATAUPUN BAJUKOT..KATANYA DALAM FILEM P.RAMLEE ANAK BAPAK LAKONAN IBRAHIM DIN DAN ISTERINYA 'BUKAN BAJU YANG NAK SEMBAHYANG TAPI HATI YANG BERSIH TETAP MENGHADAP TUHAN'.

    APAKAH PAS SUDAH HILANG INDENTITI ?

    ReplyDelete