Saturday, February 28, 2009

TOL NAIK KE TARAK NAIK KER SAPA UNTUNG?

TOL NAIK!!!

Heboh satu Malaya 5 tol terpaksa dinaikkan sebab sudah termaktub dalam perjanjian dengan syarikat yang pegang konsesi tol, Bertanya sekalian hamba rakyat wajarkah tol dinaikkan ditengah negara mula merasa tempias kemelesetan ekonomi.

BEBAN KEPADA RAKYAT

Maka berkatalah mantan Menteri Datuk Seri Azmi Khalid, kenaikan tol ni akan membuatkan rakyat terasa bebannya. Berkata lagi dia “kalau dia pun yang berulang balik terasa bebannya inikan rakyat biasa”. Dulu jadi menteri tak pernah rasa kena bayar tol main redah jer palang tol tu dengan kereta rasmi kerajaan.

Rata-rata berpendapat kenaikan tol telah membebankan rakyat. Kenaikan tidak sesuai pada masanya. Nasib baik juga ekonomi meleset sebab kalau ekonomi baik maka tol pun boleh dinaikkan

MENTERI KABINET DAN PM TERKEJUT

Puak menteri yang jaga Malaya sekaliannya terkejut dengan pengumuman kenaikan tol. Dikatakan tidak sesuai dengan masanya. Perdana Menteri pun turut sama terkejut. Tapi hamba rakyat tercengang tak kan laa menteri kabinet dan Perdana Menteri tidak tahu langsung tol akan naik. Tidak bincang dalam mesyuarat kabinet ker? Atau tidak semak ker laporan dari syarikat penjaga tol bila tol akan dinaikkan. Perdana Menteri kata perbincangan 2-3 minggu lepas masa tu ekonomi tak teruk lagi. Aduss!! Pak Menteri dan Perdana Menteri tidak boleh ramal keadaan ekonomi ke? Tak kan la para Menteri yang bijak pandai tak boleh nak agak keadaan dan kesan ekonomi semasa? Tapi tak tahu la kalau tengok semua orang terkejut maka puak-puak menteri pun sama-sama terkejut. Berlakon terkejut ker? Kalau berlakon terkejut nampaknya puak menteri ada bakat jadi pelakon.

TANGGUH NAIK

Selepas semua orang terkejut, PM dan Menteri terkejut tapi tidak pasti buat-buat atau betul-betul terkejut akhirnya keputusan untuk naikkan tol ditangguhkan. Kerajaan akan bayar pampasan kepada syarikat jaga tol, Syarikat jaga tol jugak yang untung, tapi puak TV akan cakap kerajaan ada sekarang kerajaan yang prihatin. Tak sanggup tengok rakyat susah maka dibayar pampasan bagi pihak rakyat. Rakyat Malaysia tepuk tangan.

Tapi harus diingat kenaikan itu ditangguh sementara, lepas ni ekonomi baik maka tidak laa mustahil tol pun boleh dinaikkan. Syarikat jaga tol jugak tersenyum sebab tetap dapat duit.

Friday, February 27, 2009

PPSMI-Objektifnya Mungkin Pinggirkan Bahasa Melayu

Menonton siaran ulangan Raja Lawak musim ketiga baru-baru ini, tertarik dengan lawak dari kumpulan Sepah. Sememangnya isi lawak yang ditonjolkan kumpulan tersebut mendapat sambutan hebat. Saya dimaklumkan kumpulan tersebut sekarang menjadi pilihan untuk menjuarai Raja Lawak musim ketiga ini. Namun apa yang betul-betul menggelikan hati ini adalah bait kata dari kumpulan tersebut yang antaranya berbunyi “ Kau cakap melayu pun tergagap-gagap nak cakap orang putih”, kemudian disambung lagi “ ada bahasa sendiri agunglah bahasa sendiri”, Saya merasa terpanggil dengan luahan ayat tersebut, adakah ianya sekadar lawak atau ada maksud tersirat yang cuba ditujukan kepada golongan tertentu.

Sasterawan Negara menentang

Bila membaca pula kenyataan Datuk A Samad Said yang sanggup kehilangan gelaran Sasterawan Negara semata-mata kerana mempertahankan bahasa ibundanya bahasa melayu, kita jadi malu dengan diri sendiri. Cukup lemah upaya kita untuk mempertahankan bahasa kita sendiri walaupun bergendang seluruh Malaya mengatakan kita adalah penjaga kaum melayu yang menjaga bangsanya, agamanya iaitu Islam dan juga bahasanya. Bila ‘orang tua’ macam Datuk A Samad Said sanggup ke hulu hilir demi mempertahankan bahasa ibunda, apa tindakan pemuda Umno yang kononya hebat dan pantang dicabar dalam memperjuangkan bahasa ibunda orang melayu ini

Tercapaikah objektifnya?

Isu PPSMI tidak harus dilihat dari sudut kaedah pembelajaran semata-mata, tapi harus dilihat secara menyeluruh yang membabitkan kesan kepada anak bangsa melayu dan kepada bahasa melayu itu sendiri. Cuba lihat objektif PPSMI ini diwujudkan, kononnya untuk meningkatkan penguasaan anak melayu dalam Bahasa Inggeris. Tapi adakah objektif tersebut tercapai? Kalau tidak apa salahnya patah balik sebelum terlambat dan cari kaedah lain untuk tingkatkan penguasaan bahasa inggeris ini. Cari kaedah yang betul untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris kepada anak melayu mungkin dengan memperkasakan teknik dan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris, memberi galakan dan insentif kepada guru yang cemerlang dalam Bahasa Inggeris dan banyak lagi kaedah yang boleh difikirkan sesuai tapi bukan dengan cara mengorbankan bahasa ibunda kita. Mungkin ahli akademik melihat PPSMI tidak mencapai objektifnya dan memberi bahana kepada pelajar-pelajar melayu di luar bandar yang dulunya ketinggalan hanya satu mata pelajaran tapi sekarang kepada empat mata pelajaran iaitu English. Sains, Matematik dan juga Bahasa Melayu. Jangan jadi yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Sudahlah jurang antara pelajar bandar dan luar bandar sebelum ini jauh ditambah kaedah PPSMI jawabnya ‘ibarat panggil tak dengar’.

Kesan dari perlaksanaan PPSMI

Tapi jikalau PPSMI berjaya dari segi objektifnya maka apa akan jadi kepada nasib bahasa melayu kita? Jangan terkejut jika bahasa kita hilang dari muka bumi ini seperti mana hilangnya bahasa Sanskrit dan banyak bahasa lain sebelum ini. Bila bahasa melayu hilang maka mana identiti bangsa melayu? Tidak mustahil ianya turut hilang dan pada masa tu demonstrasi macam mana sekalipun tidak berupaya untuk mengangkat kembali bahasa kita ini. Golongan professional sekarang yang rata-rata berumur 25-35 belajar Sains dan Matematik dalam bahasa melayu pun kadang-kadang segan nak bertutur dalam bahasa melayu ‘low standard’ kata mereka dan jangan salahkan pelajar-pelajar yang dari kecil diajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Saya percaya ianya akan jadi begini jika PPSMI ini berjaya mencapai objektifnya maka akan ada satu usul dari menteri, kita perlu tingkatkan lagi keupayaan anak kita dalam bahasa inggeris dengan menambah mata pelajaran lain untuk diajar dalam bahasa inggeris, sedikit demi sedikit bahasa melayu dihakis. 20 tahun akan datang kita akan melihat professional melayu tidak akan bertutur lagi dalam bahasa melayu, Masa itu kita sedar kita telah buat kesilapan.


Sebab itu jangan main-main dengan bahasa melayu, jangan suka-suka nak ubah, kurangkan penggunaannya dan jangan rendahkan martabatnya. Ini identiti kita, ini tanda pengenalan diri kita. Kita mesti lahirkan anak-anak melayu yang fasih banyak bahasa bukan semata bahasa inggeris sahaja tapi bukan dengan cara dan kaedah yang akan meruntuhkan bahasa ibunda mereka. Mengapa tidak kita lahirkan professional yang berada dalam acuan kita sendiri. Seorang professional yang hebat, yang ada jati diri melayu yang kental, yang bangga dengan bahasa melayu dan pada masa yang sama fasih bertutur dalam banyak bahasa lain tidak semata-mata bahasa inggeris. Jangan sampai bahasa Malayu dan bangsa melayu hilang dari bumi ini dan kita menjadi hamburan maki hamun anak cucu generasi depan yang jelak dengan upaya kita dalam mempertahankan bahasa ibunda kita sendiri.

Wednesday, February 25, 2009

Wajah Sebenar Ibrahim Ali ?

Petikan hansard dari parlimen 19/02/2009.. Terima kasih kawan-kawan yang sudi berkongsi

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hei, beruk!!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Beruk sahaja kenal dengan beruk tau!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Kamu jangan kurang ajar ya!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Beruk besar kenal dengan beruk...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hei, anjing!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Kalau saya anjing, kamu pun anjing.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Kamu anjing!

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Bukan you seorang Melayu tau, ramai lagi Melayu.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Ya lah, tetapi kalau orang Hindu cakap saya macam itu ...
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Bagi pihak Melayu, you have no right.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hey, you shut up! You shut up! You shut up! Babi!

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Awak ingat awak seorang saja Melayu?
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Apa you bercakap macam itu?
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Beri saya laluan!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tak payah!
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Beri saya laluan!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tak payah!
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kalau kamu berani!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tak payah!
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Penakut!
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Apa penakut?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Shah Alam...
Beberapa Ahli: [Menyampuk]
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: [Menghempaskan songkoknya]

Ini petikan hansard pertengkaran Ibrahim Ali dengan N. Gobalakrishnan

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Itu sahaja maksud saya!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Inilah! Tadi you gunakan perkataan
‘munafik’. Ha, kamu munafik sekarang ini. [Dewan riuh]
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya tidak ada, saya kata perkataan umum. Saya tidak
sebut sesiapa pun melainkan saya katakan umum. Ini soal prinsip perbahasan umum. Kamu
jangan kurang ajar! [Tepuk] Hei Bangsat! Kamu jangan kurang ajar!
Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Pasir Mas kurang ajar, Tuan Yang di-Pertua.

Selepas itu Ibrahim Ali cuba menunjukkan dia adalah mangsa keadaan dan cuba berselindung. memang dah jadi perangai Ibrahim dari dulu lagi....

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Astaghfirullah. Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi saya minta maaf, saya minta maaf banyak-banyak kepada Dewan yang mulia tentang apa yang berlaku. Mereka membuat provokasi kepada saya dengan tidak ikut peraturan, dengan tidak menghormati Tuan Yang di-Pertua. Menuduh, menuding dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar daripada Dewan. Inilah yang dikatakan mereka ini golongan beradab dan
pejuang-pejuang Islam, cukup saya kesal.

Inilah yang diwar-warkan kelantangan.. Ini bukan kelantangan tapi mencarut dengan sifat yang gila meroyan. Nampaknya sudah terserlah sifat dan watak sebenar dia nie, Tapi biarkan dia, lagi 3 tahun jer dia jadi Ahli Parlimen lepas nie PAS Kelantan tidak benarkan lagi dia bertanding guna logo PAS... betul laa cakap dia dulu Umno buang dia sekarang Pas pulak buang dia, dia dah jadi anak yatim

sebenarnya kau tu yang tidak taat kepada parti kau.. elok laaa kau berjalan sendiri.. kalau kau jatuh kau bangun laa sendiri..

Tuesday, February 24, 2009

Suasana Hari Terakhir MB Nizar di Kediaman MB Perak


Ampun Tuanku, patik mengharapkan kebijaksanaan Tuanku


Pemimpin disayangi diiringi dengan megahnya





Keluar bukan bermakna menyerah

Semoga kita kembali dengan membawa kemenangan
gemilang

Wednesday, February 18, 2009

YB Elizabeth - Siapa Bermoral Siapa yang Tidak

Setelah seminggu tidak berkesempatan untuk mengemaskini blog ini kerana sibuk dengan tugasan harian dan hampir seminggu juga aku kurang prihatin kepada perkembangan politik Malaysia setelah krisis di Perak yang pada aku semakin sejuk - biasalah rakyat Malaysai panasnya bermusim dan bersifat sementara. Namun tiba-tiba politik Malaysia dikejutkan lagi dengan penyebaran gambar bogel Exco Kerajaan Negeri Selangor YB Elizabeth Wong. Mula ramai yang bertanyakan berkenaan kes ini namun pada aku kita jangan mudah melatah tanpa mengetahui kisah dan peristiwa sebenar. Kerana dengar dari cakap-cakap orang atau dapat berita dari sumber yang kita sendiri ragui kesahihannya (utusan, TV3, berita harian) terus kita buat ulasan pada aku kurang bijak. Ini kerana kita perlu dapatkan maklumat dari pelbagai sisi untuk membolehkan kita mengetahui kisah tersebut dengan lebih jelas dan telus.
Kita baca akhbar yang rata-rata menghentam moral YB Eli, ada juga yang minta beliau meletakkan jawatan Exco dan ADUN, dan ada juga yang menyamakan kes ini dengan kes bekas Menteri Kesihatan dulu Chua Soi Lek. Kita manusia yang cerdik akal jangan mudah marah dengan apa yang berlaku dan yang penting jangan mudah sangat melatah dengan isu-isu yang dimainkan oleh akhbar dan tv tapi timbang dengan elok kerana sesungguhnya kita manusia adalah sebaik-baik ciptaan dari Nya yang dianugerahkan akal untuk berfikir mana buruk dan baik mana betul dan mana salah.
Bila aku bertanya kepada kawan karib aku tentang isu ini dia panjang lebar memberi ulasan pada aku bahawa gambar YB Eli ada 2 keping yang mana gambar tersebut adalah gambar beliau sedang tidur dengan posisi intim diatas sofa rumahnya. Aku tanya lagi bogel ke? Kawan aku bagi tahu aku orang bagi tahu dia “mana ada bogel cuma kainnya tersingkap”. Jadi aku terfikir-fikir mana satu betul ni ada setengah kata gambar bogel, ada setengah kata gambar separuh bogel dan ada cakap gambar dalam posisi yang tidak sopan. Pada aku ini masanya kita cuba cari takrifan apa maksud bogel, separuh bogel dan kurang sopan. Pakaian yang macam mana digelar separuh bogel? Perenang di sukan Olimpik tu separuh bogel ker? Pelari marathon wanita pakai pakaian tidak sopan kah? Akhbar pun satu TV pun satu cakaplah betul-betul bogel ke separuh bogel ini tidak kadang-kadang bogel kadang-kadang tidak, aku selak-selak akhbar pun sama la kadang-kadang tulis bogel kadang-kadang tulis separuh bogel.
Selepas itu aku terfikir lagi gambar itu menunjukkan beliau sedang tidur diatas sofa rumahnya dan boleh jadi juga beliau pun tidak sedar yang ada manusia laknat tengah mengambil gambar beliau. Jadi aku terfikir lagi apa masalahnya dengan moral Yb Eli, adakah orang yang bermoral tidak tidur? Tidur, buang air besar, buang air kecil, salin pakaian, mandi bukankah itu perkara rutin yang kita lakukan hari-hari untuk melengkapi kehidupan kita seharian. Malah kalau kita melakukan hubungan intim dengan suami/isteri kita ianya dituntut dan tidak menjejaskan moral kita. Kalau suami isteri berhubungan intim tiba-tiba gambarnya dirakam tanpa pengetahuan mana mungkin suami isteri tersebut dipersalahkan. Orang yang merakam perbuatan tersebut patutnya dipersalahkan dan dituduh tiada moral. Tapi kalau suami/isteri tersebut merakamnya untuk tujuan koleksi peribadi pada aku itu lah manusia yang paling tiada moral. Sama juga dengan gambar bogel yang dirakam sendiri dengan pelbagai aksi untuk koleksi peribadi kononnya kalau jatuh ke tangan manusia durjana maka padan muka kerana kau pun turut sama durjana. Tanggung la sendiri. Lepas tu aku diajukan lagi dengan soalan jadi Chua Soi Lek tak salah ke? Sebab dia pun tidak tahu aksinya dirakam malahnya videonya tidak dirakam atas kerelaannya dan dia pun tidak tahu kewujudan videonya sehingga ianya tersebar. Aku cakap masalahnya aksi beliau itu dengan siapa? Kalau dengan isterinya aku cakap dengan tegas ianya tidak salah, orang yang merakamnya itu yang salah, tapi kalau dengan pasangan yang tidak halal maka pada aku orang beraksi salah, orang yang merakamnya pun tumpang semangkuk salahnya. Kalau dengan pasangan yang halal tapi kau sendiri yang gatal tangan nak merakam dengan alasan koleksi peribadi seperti aku cakap tadi orang yang sebarnya durjana sebab perbuatan durjana kau.
Jadi aku terfikir-fikir apa masalahnya dengan gambar YB Elizabeth ni? Orang pun mendakwa dia rendah moralnya sebab dia membenarkan orang lelaki lain masuk rumahnya, dan ada sesetengah cakap dia melakukan perkara yang tidak bermoral kerana bersekedudukan dengan lelaki bukan mahramnya. Aku jawab dua keping gambar tersebut tidak membuktikan bahawa dia bersekedudukan, gambar pula diambil atas sofa yang pada pemahaman aku kejadian itu diruang tamu bukan dibilik tidur. Kalau ada bukti beliau bersekedudukan maka kemukan dengan bukti lain bukan dengan bukti 2 keping gambar ini. Kalau nak tuduh beliau berzina itu dah teruk, gambar tersebut tidak membuktikan beliau pergi sejauh itu. Cari bukti lain kalau nak tuduh semacam itu. Tapi kalau nak diceritakan pasal bersekedudukan ini kita jangan pulak “double standard” sebab pada aku ada artis kelahiran Malaysia popular di negara luar yang tinggal bersama dengan tunangnya siap dapat title Dato’ lagi. Kenapa rakyat Malaysia tidak mencemuh beliau?
Jadi hingga ke saat ini aku tidak faham apa yang kecoh sangat, kenapa perlu Yb Eli letak jawatan, pada aku dia tidak salah seperti salahnya Chua Soi Lek, Tapi aku hormati sikapnya yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan kerana sayangkan parti. Kepada pimpinan Pakatan Rakyat kalau betul selepas siasatan membuktikan Elizabeth ini teruk moralnya (tapi bukan bersandarkan kepada 2 keping gambar ini cari bukti lain) maka terima perletakan jawatannya dan jangan simpannya dalam parti kerana parti tidak perlukan orang yang buruk moralnya. Pada pihak polis siasat perkara ini dengan bersungguh-sungguh. Kenapa gambarnya boleh tersebar? Siapa yang sebarkan? Paling penting apa tujuan kepada penyebaran gambar ini.Rungkaikan persoalan ini dari sibuk bercerita pasal pilihanraya di Bukit Lanjan.

Saturday, February 14, 2009

Cabaran Pakatan di Bukit Gantang

Setelah lama berteka teki maka terjawab sudah bahawa PRK untuk Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau adalah 7 April 2009, manakala penamaan calonnya adalah pada 29 March 2009 iaitu selepas berakhirnya pemilihan Umno. Pemilihan tarikh tersebut telah menimbulkan pelbagai spekulasi tentang peranan SPR yang dikatakan berpihak kepada BN. Namun kenyataan pengerusinya pemilihan tarikh tersebut adalah untuk memberi kemudahan kepada parti yang bakal bertanding. Jadi sebagai pemerhati politik yang matang janganlah mudah kita melemparkan tuduhan bahawa SPR adalah berpihak.

Namun bukan kisah SPR yang ingin dicoretkan apa yang penting untuk diperhatikan dalam PRK ini adalah cabaran yang bakal diterima oleh Pakatan Rakyat dalam PRK ini, apakah strategi yang bakal diguna pakai oleh BN dan apakah strategi yang sesuai untuk Pakatan bagi menangkis sebarang muslihat dan tipu daya BN. Mengikut pengamatan yang jelas strategi BN bakal tidak berubah seperti pilihanraya dulu-dulu juga cuma apa yang pasti strategi BN dibawah kuasa Dato Jib selaku Pengerusi yang baru tidak boleh dipandang ringan malah mungkin Pakatan akan diserang semahu-mahunya dalam PRK ini. Serangan-serangan yang bakal dilakukan mungkin bertalu-talu akan membuatkan pakatan tidak mampu untuk menarik nafas barang seketika pun.

Apa yang pasti media akan digunakan dengan semahunya untuk merosakkan imej DSAI dengan kata lain 'menjahanamkan' imej Anwar Ibrahim sehingga akan nampak buruk dimata rakyat Malaysia dan Perak. Sebelum ini kita telah biasa dengan imej Anwar yang diburukkan tiap kali menjelang pilihanraya tapi untuk PRK ini mungkin strateginya agak sedikit berlainan, Mungkin imej Anwar akan digambarkan sebagai penderhaka kepada Sultan Perak untuk menimbulkan sentimen benci yang amat kepada Anwar, selain itu Anwar Ibrahim akan dituduh selaku punca kecundangnya kerajaan Pakatan di Perak, selaku pemimpin tiada moral, dan pencetus kepada trend lompat katak. Ini di buat agar penyokong-penyokong DAP dan PAS benci kepada Anwar Ibrahim

Selain itu kritikan Karpal Singh kepada Anwar akan selalu dimainkan di tv, Kritikan Karpal terhadap hukum hudud akan dimainkan untuk menimbulkan kebencian PAS kepada DAP selain daripada pergeseran Karpal dengan anak beranak Lim dalam DAP untuk meruntuhkan keyakinan pengundi Cina kepada DAP. Ini dibuat dalam keadaan yang dipercayai seoalah-olah kita menghadapi perang saraf yang maha hebat. Ini belum termasuk dengan peristiwa kebangkitan rakyat di Kuala Kangsar, tindakan DS Nizar dan pimpinan Pakatan yang lain yang akan dilabelkan sebagai penderhaka. Pada masa yang sama TV akan memaparkan sambutan jubli perak pemerintahan DYMM Sultan Azlan Shah dengan klip-klip video tentang Kesultanan Melayu Perak dan siri-siri kegemilangan yang ditempa sepanjang Sultan Azlan Shah memayungi kerajaan Perak untuk membuatkan rakyat benci kepada penderhaka-penderhaka ini.

Pas dan Pakatan harus sedar kerusi Bukit Gantang adalah kerusi tradisi kepada Umno dan mereka tidak pernah tewas disini sehinggalah PRU ke-12 yang lalu. Jadi perjuangan Pakatan Rakyat disini adalah berat dan besar. Pas boleh lah dilihat selaku 'underdog' sebenarnya dalam PRK ini. Namun kerja keras, perjuangan yang ikhlas dan selalu berdoa adalah kekuatan jentera pilihanraya Pas. Ini harus dicontohi oleh Keadilan dan DAP.

Jika ada orang bertanya setelah melalui segala fitnah, perang saraf yang hebat, hasutan dan ugutan kenapa Pakatan Rakyat tetap menang jawabnya sudah pasti kerana perjuangan ikhlas yang tidak mengharapkan ganjaran material walaupun sesen, sentiasa berdoa, patuh kepada arahan pemimpin dan semangat yang tinggi untuk menang. Ini lah yang tiada dalam BN dan Umno walaupun mereka mencuba sedaya upaya.

Wednesday, February 11, 2009

Bukit Gantang jadi medan penentu?

Setelah beberapa desakan untuk membubarkan DUN Perak tidak mendapat perkenan ke bawah Duli Sultan Perak akhirnya pengundi di Parlimen bukit Gantang Perak diberi peluang untuk mengundi sekali lagi oleh Allah s.wt berikutan Ahli Parlimen dari Pas Hj Roslan Shaharun yang telah kembali ke rahmatullah. Al-fatihah untuk Allahyarham..

Disaat kemelut politik Perak yang seakan-akan 'meriah' sekarang seluruh rakyat Malaysia tidak sabar-sabar untuk menantikan detik pilihanraya tersebut dan mengetahui keputusannya. Adakah Pakatan Rakyat masih mendapat tempat dihati pengundi Bukit Gantang ataupun sama-sama tumbang seperti mana tumbangnya kerajaan mereka di Perak atau pun Umno dan BN mendapat sedikit nafas untuk terus mengorak langkah dalam politik Malaysia ini atau pun terus tenggelam setelah karam di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebelum ini. Menarik untuk kita perhatikan.

Semalam dalam Astro Awani ada berita mengatakan bahawa Bukit Gantang menjadi penentu keadaan di Perak.. Besar sungguh tanggungjawab pengundi di Bukit Gantang kali ni.. Bukan calang-calang tanggungjawab, tapi betul ker jadi penentu? Kalau jadi penentu, penentu apa sebenarnya..

Adakah kalau BN menang kali ini pemimpin BN boleh mendabik dada mengatakan sokongan rakyat telah kembali kepadanya? Yer betul pemimpin Umno dan BN dengan media yang dikuasai akan merayakan kemenangan ini dengan penuh semangat, Sokongan rakyat sudah kembali dan bakal PM kita akan senyum sampai ke telinga. Umno telah pulih, kita telah buat perubahan dan rakyat yakin dengan reform yang kita lakukan.. Itu lah kata-kata yang akan diucapkan oleh pemimpin BN kalau menang di Bukit Gantang, Tak percaya? Tengok la KALAU mereka menang.

Tapi kalau lah BN tetap kalah maka ucapan yang bakal keluar dari mulut mereka 'pilihanraya ini tidak menentukan nasib siapa-siapa pun", "Memang ini kerusi PAS sebelum ini jadi kita bertanding sebagai bukan pilihan dan kita tidak mengharap kemenangan pun". Jadi sekarang apa yang penentunya?. Keputusan sama ada ia jadi penentu atau tidak bergantung kepada keputusan pilihanraya itu sendiri kalau BN menang ya ia dikatakan menjadi penentu kepada kebangkitan BN tapi kalau BN tetap kalah pilihanraya ini maka pilihanraya ini dikatakan tidak menunjukkan apa-apa isyarat pun kepada BN. Masih dengan denied syndrom.. Tapi sejak kebelakangan ini syndrom ini makin teruk.

Penentu atau tidak ia tetap tidak membawa apa-apa untung kepada PAS dan Pakatan Rakyat, Kalau BN menang pemimpin BN akan kata rakyat Perak bersetuju dengan MB baru dan kerajaan haram yang baru, Jadi pemilihan Dato Dr Zambry di persetujui oleh rakyat Perak, Tapi kalau PAS dan Pakatan Rakyat yang menang ia tetap tidak merubah apa-apa pun. Terfikir jugak dalam hati kecil ni kalau lah pilihanraya di Bukit Gantang boleh jadi penentu kepada MB mana yang sepatutnya menerajui Perak.. Kalau BN menang maka MB kerajaan haram tersebut boleh laa terus jadi MB sebab memang dia dah angkat sumpah pun tapi kalau BN kalah sanggupkah mereka berkata "Nampaknya rakyat Perak tak mahukan kita jadi saya letak jawatan, Dato Seri Nizar boleh laa kembali semula ke jawatannya (sebab MB Nizar pun dan angkat sumpah jadi MB) .

Kalau itu terjadi baru laa boleh kita berkata sememangnya Bukit Gantang menjadi penentu di Perak...

Tuesday, February 10, 2009

Jangan Bersedih

Rampasan kuasa di Perak telah berlaku, Sekarang terima atau tidak kerajaan Pakatan Rakyat sudah tumbang di Perak dan yang ada kerajaan 'haram' barisan Nasional. jangan salahkan aku kerana mengistilahkan kerajaan 'haram' Perak kerana rata-rata orang di Malaysia bersetuju dengan aku dan aku hanya mengambil kata-kata dari TGNA yang cukup aku hormati yang mengatakan kerajaan Perak yang ada sekarang adalah haram.

Pada pendapat aku, kita ambil la ini sebagai pengajaran, ambil lah iktibar darinya.. Tidak semestinya kita gagal dalam mempertahankan kerajaan Perak kita dah kalah dalam perjuangan kita. Perjuangan masih jauh masih panjang pun dan kita mestilah bersabar meghadapi semua ini. Kalau Nabi Nuh a.s berjuang dalam menyebarkan dakwahnya selama 900 tahun apa laa sangat dengan perjuangan kecil kita ini.

Ada orang bertanya pada aku sedih ker MB DS Nizar dah tak jadi Menteri Besar kat Perak lagi? Lepas nie BN nak serang Selangor dan Kedah pulak. Pada mulanya aku macam geram jugak dengan peristiwa yang terjadi tapi bila difikir-fikirkan apa masalahnya kalau dah tak dapat membentuk kerajaan pun sebab kita bukan tak pernah kalah. Setiap kali pilihanraya mana ada kita menang pun kecuali di Kelantan. Kita kalah dan kita terima kekalahannya kalau ditakdirkan Allah kita kalah lepas nie pun kita terima dengan redhanya. Kalau kita kalah kat dunia pun belum tentu kita juga kalah kat 'sana' kelak.

MB Azizan ada berkata dalam kenyataannya kalau dia tidak lagi jadi MB untuk rakyat Kedah dia akan jadi ketua pembangkang macam dulu. Dia jadi MB Kedah kalau Allah berkehendakkan dia menjadi MB Kedah kalau tak, tak apa laa... Jangan bersedih kerana kita perlu pegang teguh dan percaya kepada setiap janji-janjiNya pada tiap-tiap pejuang agamaNya dimuka bumi ini.

Kenapa Perlu Pas Sertai Umno

Berita melaporkan kenyataan calon ketua pemuda Umno Malaysia, Dato Mukhriz Tun Mahathir yang menyarankan bahawa perlunya Pas menyertai Umno dan kenyataan ini dikhususkan di negeri Perak kononnya untuk mewujudkan pentadbiran yang lebih kukuh. Sebelum ini dah heboh satu Malaya bahawa ada usaha untuk membawa Pas sekali lagi bergabung dengan Umno dengan hasrat dan cita-cita mengekalkan legasi pemerintahan bangsa Melayu di bumi bertuah ini.

Sebenarnya tidak pelik kalau Umno yang dalam kelemasan cuba berpaut pada sesiapa sahaja untuk menyelamatkan diri tapi terlalu pelik untuk difikirkan kalau Pas cuba untuk selamatkan musuhnya yang selama ini menjadi duri tajam dalam setiap nafas perjuangan parti Islam ini. Orang yang lemas cuba diselamatkan oleh orang yang tidak lemas mungkin menyebabkan orang yang tidak lemas sama-sama lemas. Kalau tidak pun silap-silap yang cuba menyelamatkan orang lemas akan lemas dan yang sepatutnya lemas tidak pulak lemas. Kalau itu terjadi maka petaka besar laa pada Pas.

Kalau orang bertanya kepada aku kenapa Pas susah sangat nak bergabung dengan Umno tapi rela bersama-sama dengan DAP jawapan aku dan aku harap siapa-siapa yang ditanya soalan begini jawab sahaja Orang yang melakukan kesilapan tidak laa bodoh tapi memang bangang pada orang yang melakukan kesilapan sama berulang kali. Pada orang Pas yang bersetuju dengan cadangan ini cuba tengok balik apa yang Umno dah buat kepada Pas dari tahun 1951 sampai laaa sekarang.Tak payah aku senaraikan kau orang carilah sendiri.

Pada aku yang tidak laa pandai berpolitik nie DAP tidak pernah tipu Pas tapi banyak kali tegur Pas kerana pendapat mereka tidak sealiran. Biasa laa orang bukan Islam kadang-kadang tidak faham agama kita dan kita kena bagi penerangan sampai laa mereka faham. Tapi yang seagama dengan Pas nie tidak pernah faham tentang perjuangan Pas yang tu aku tak faham. Kalau tak faham sebab baru setahun dua aku boleh terima tapi kalau dan puluhan tahun belum lagi faham perjuangan Pas aku tak tahu nak kata apa dah..

Sudah-sudah laa kalau kalian dengar lagi usul ini atau ada orang yang tak berapa faham nak bagi cadangan usul nie di kedai kopi sambil borak-borak nasihat aku baik kau orang tukar topik yang lagi bagus seperti makanlah buah-buahan tempatan, jaga laa sungai kita dan lain-lain. Naik jemu dah aku dengar Pas bergabung dengan Umno nie naik loya dan kembang tekak nie. Geli lah...